Lahir Naskhah Rahsia Berjaya ke Sekolah Idaman

Aug 2 / HasnolMazlina
Naskhah RAHSIA BERJAYA KE SEKOLAH IDAMAN  mula ditulis sejurus selepas YB Mohd Radzi bin Md Jidin yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia  pada 10 Mac 2020, mengumumkan pemansuhan UPSR.

Tarikh 16 April 2020 merupakan hari pertama Ina merangka isi kandungan naskhah ini dan Ina bersyukur sangat kerana berjaya menyiapkan kandungan bahan sepenuhnya pada 21 Jun 2020.

Menulis kandungan sesuatu program bukanlah semudah yang disangka, namun bagi merealisasikan penterjemahan idea kepada bentuk penulisan yang konkrit, Ina cuba sedaya upaya untuk menjadikannya sebuah realiti.

Alhamdulillah, berkat doa semua, maka lahirlah bahan ini.
Sudah menjadi kebiasaan saban tahun, Ina dan suami akan meneruskan kelas di pusat tuisyen kami walaupun UPSR telah berakhir.

Kami akan mengendalikan kelas persediaan menghadapi Ujian Aptitud, Ujian Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP) dan Temu Duga Kuota Pengetua.

Objektif kelas tersebut adalah untuk membantu murid tahun 6 berjaya mendapat tawaran ke sekolah yang mereka inginkan.

Semasa sesi kelas berlangsung, bahan pengajaran dan pembelajaran kami hasilkan sendiri kerana sumber / buku rujukan tidak ada di pasaran.

Berdasarkan pengalaman kami bermula dari tahun 2004 hingga 2019, maka kami memutuskan untuk menulis modul yang sesuai dijadikan panduan untuk ibu bapa menghadapi situasi ketiadaan UPSR akibat pandemik pada tahun 2020. 

Kelas fizikal diubah menjadi kelas dalam talian

Pada tahun 2020, permintaan kelas dalam talian sangat tinggi ekoran berlakunya pandemik.

Sebagai seorang tenaga pengajar, Ina turut terkesan dengan perubahan itu. Namun begitu, selain menyediakan peralatan yang sesuai, modul juga harus dititik beratkan agar objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai lebih-lebih lagi, kelas diadakan  secara dalam talian.

Ina telah menamakan program ini iaitu Sekolah Idaman yang secara tepatnya program ini ditujukan khas kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak tahun 6 (2020) yang terlibat dengan pemansuhan UPSR pada ketika itu.

Program ini direka untuk membantu ibu bapa yang bercita-cita ingin anak mereka menyambung pendidikan menengah di sekolah yang diidam-idamkan seperti sekolah elit atau sekolah-sekolah khas seperti sekolah seni, sekolah sukan dan sebagainya.

Melalui naskhah ini Ina turut menceritakan bagaimana Ina membantu anak-anak, Hatim Hayyan dan Habri Hanif sehingga mereka berjaya menerima tawaran ke sekolah yang mereka impikan.

Bagi yang belum tahu, anak sulung Ina merupakan seorang murid yang menghadapi masalah pembelajaran disleksia. Pada tahun 2020 yang lalu, anak disleksia Ina ini berumur 15 tahun.

Dalam penulisan ini, Ina berkongsi bagaimana Ina membantu Hatim menggapai impian ke sekolah pilihannya setelah usai pendidikan sekolah rendah. Namun setelah mendapat tawaran, lain pula jadinya. Hatim menolak untuk tinggal di asrama dan mahu bersekolah di sekolah menengah harian sahaja. Sebagai ibu bapa, Ina dan suami akur dengan permintaan itu. Kami faham tentang kesukaran masalah pembelajaran yang dihidapinya.

Berbeza pula jalan cerita tentang anak kedua Ina, Habri, walaupun dianugerahkan kecerdikan semula jadi, namun ‘penyakit malasnya’ sering mengundang banyak masalah dalam pembelajaran. Anak kedua Ina ini, suka ponteng sekolah kerana masalah bangun pagi.  Sikap tersebut bermula dari awal persekolahan tahun 1 sehingga tahun 6. Sesungguhnya, hanya Allah yang tahu betapa mencabarnya punya anak bersikap begini. Namun, atas doa dan usaha, maka akhirnya Habri berjaya juga ke Sekolah Idamannya. Syukur sangat. 

Begitulah ceritanya, seorang begini dan seorang lagi begitu. Inilah dinamakan ujian kita sebagai ibu bapa. Senang pada bahagian ini, susah pula pada bahagian sana. Kita perlulah terima ujian Allah dengan penuh redha dan berusaha untuk menyelesaikannya.  

Dipendekkan cerita, begitulah bermulanya Program Sekolah Idaman secara dalam talian. Ina sungguh tidak menyangka bahawa, sambutan penyertaan sungguh menggalakkan. Ramai ibu bapa dari seluruh negara menyertai Program Sekolah Idaman ini. 

Program ini bukanlah suatu program yang Ina bangunkan modulnya secara ala kadar sahaja, akan tetapi setiap perincian modul, sememangnya Ina lakukan dengan bersungguh-sungguh. Segala rahsia, tip, panduan dan langkah demi langkah Ina kongsikan. 

Kini, Program Sekolah Idaman mula melangkah ke tahun ke-empat. Semoga Allah mengurniakan Ina dengan kesihatan, ketajaman fikiran dan kekentalan jiwa untuk membantu ibu bapa yang memerlukan maklumat tentang tatacara ke Sekolah Idaman pada tahun 2023 ini.

Aamiin.